SILA TINGGALKAN PERSOALAN ANDA DI RUANG SOALAN DI BAWAH SEKALI.

Sunday, May 29, 2011

HUKUM DAN ADAP-ADAP MENERIMA JEMPUTAN KENDURI:

• Hukum menerima jemputan kenduri adalah sunnat yang dituntut (سنة مؤكد) dan ia merupakan satu tanggungjawab seorang muslim terhadap muslim yang lain. Perkara ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

عن النبي صلى الله عليه وسلم قال ( لو دعيت إلى ذراع أو كراع لأجبت ولو أهدي إلي ذراع أو كراع لقبلت ) رواه البخاري
Maksudnya: Daripada Rasulullah SAW bersabda: “Kalaulah aku dijemput ke jamuan makan kaki binatang, nascaya aku menyambutnya, dan kalau aku dihadiahkan kaki binatang, nascaya aku menerimanya.”

Rasulullah bersabda lagi:
رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول ( حق المسلم على المسلم خمس رد السلام وعيادة المريض واتباع الجنائز وإجابة الدعوة وتشميت العاطس ) رواه البخاري
Maksudnya: Rasulullah bersabda: “Tanggungjawab seorang muslim terhadap seorang muslim yang lain ada lima PERKARA iaitu; menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengikuti jenazah, menerima jemputan dan mendoakan orang yang bersin.”

Dalam menerima jemputan kahwin atau jemputan makan terdapat adap-adapnya. Terdapat lima (5) adap yang perlu diketahui oleh seseorang untuk menerima jemputan dari kawan muslimnya yang lain, iaitu;

1. Tidak membezakan di antara jemputan orang kaya atau orang miskin. Orang yang menerima jemputan orang kaya dan menolak jemputan orang miskin adalah dikelaskan sebagai orang yang takabbur.

2. Tidak sepatutnya jarak yang jauh menjadi penghalang bagi seseorang untuk menerima jemputan kawannya.

3. Berpuasa juga bukanlah penghalang bagi seseorang untuk hadir / menerima jemputan kawannya. Dan jika berbuka puasa itu dapat menggembirakan kawannya, maka berbukalah. Mudah-mudahan berbuka puasa ketika itu adalah dengan niat untuk menggembirakan hati saudaranya seislam.
a. قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إذا دعي أحدكم إلى طعام فليجب فإن شاء طعم وإن شاء ترك. رواه مسلم
Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang dari kamu dijemput kepada satu jamuan, maka jawablah (pergilah), jika dia hendak makan, makanlah dan jika dia hendak, tinggalkanlah (tidak makan).

4. Dilarang dari menerima jemputan tersebut jika makanan yang disediakan adalah makanan yang syubhah (tidak jelas, halal atau haram), atau tempat dan hamparan yang disediakan adalah tidak halal, atau ianya diadakan di tempat yang mungkar seperti hamparan dibuat dari sutera atau kendi-kendi air dari emas dan perak, atau terdapat gambar-gambar haiwan dilekatkan dibumbung rumah atau di dinding, atau terdapat kedengaran bunyi seruling dan perkara yang melalaikan, atau terdapat kesibukan dengan perkara hiburan, muzik-muzik, lawak jenaka, permainan, suara-suara umpatan, pembohongan, penipuan dan seumpamanya. Jika terdapat perkara-perkara ini dalam majlis tersebut, maka lebih baik jemputan itu tidak disahut (dihadiri), malah ia boleh membawa kepada haramnya menghadiri majlis itu atau hukumnya makruh. Begitu juga jika orang yang menjemput kita itu adalah orang zalim atau orang bid’ah atau orang fasik, atau orang jahat, atau orang yang mahu menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah.

5. Adap yang ke lima; penerimaan jemputan itu juga hendaklah diniatkan kerana Allah SWT; iaitu menyahut seruan rasulullah SAW yang menyuruh orang Islam menerima jemputan kawannya. Janganlah diniatkan untuk memenuhi kehendak syahwat makan yang menjurus kepada keduaniaan. Diniatkan untuk memuliakan saudaranya seislam.

(Sumber rujukan: منهاج المؤمن ، الدكتور مصطفى مراد، جامعة الأزهر، صفحة: 158-160 )

0 comments: