SILA TINGGALKAN PERSOALAN ANDA DI RUANG SOALAN DI BAWAH SEKALI.

Monday, August 22, 2011

Apakah Hukum Memberi Zakat kepada Orang Kafir?

{إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاء وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِّنَ اللّهِ وَاللّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ }التوبة60

60. Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil Yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf Yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba Yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang Yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) Dalam perjalanan. (Ketetapan hukum Yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Pandangan Sebahagian Ahli Tafsir:

الْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ Terdapat banyak pentafsiran terhadap makna perkataan ini. Antaranya ialah:

1. Mereka itu ialah pembesar-pembesar Arab. Rasulullah SAW memujuk mereka supaya memeluk Islam, maka baginda memperuntukkan sedikit zakat untuk mereka, pada ketika bilangan umat Islam sedikit. (Tafsir al-Kashsaf, al-Zamakhshari, jld.3, hlm. 60.)

2. Mereka itu ialah golongan dijinakkan (dipujuk) hati mereka kepada Islam, dari kalangan orang yang tidak sah lagi pertolongannya, tujuan untuk membantu dirinya dan keluarganya, seperti Abi Sufyan bin Harb, Uyainah bin Badr. (Tafsir al-Tabari, Ibn Jarir al-Tabari, jld.14, hlm. 312.)

3. Mereka ialah golongan yang terdapat pada zaman permulaan Islam, yang menzahirkan keislaman dan cenderung kepadanya, maka diberi peruntukan dari harta zakat kepada mereka kerana kelemahan iman (keyakinan) mereka. (Tafsir al-Qurtubi, jld.8, hlm. 178.)

4. Mereka itu ialah ketua-ketua kumpulan: samada kafir yang diharapkan keislamannya, atau diharap dapat menahan kejahatannya, dan orang Islam yang diharap akan bertambah kuat imannya dengan pemberian zakat itu, atau diharap penyokongnnya akan menjadi Islam, atau menasihatnya untuk berjihad, atau diharap dia dapat mempertahankan umat Islam, atau diharap dia dapat menahan keburukannya dari mengenai orang lain. Hukum dalam ayat ini adalah kekal, kerana Rasulullah memberi zakat kepada orang yang dijinakkan hati mereka kepada islam dari kalangan orang Islam sendiri dan juga orang mushrik, maka mereka itu diberi zakat ketika perlu. (Mahasin al-Takwil, al-Qasimiy, hlm. 3184)

Para ahli ilmu berselisih pendapat, samada golongan الْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ ini masih wujud pada hari ini atau sudah tiada. Adakah pada hari ini harta zakat itu perlu diberi kepada seseorang yang dijinak hatinya kepada Islam?

Pendapat Pertama:

Mengatakan bahawa golongan ini sudah terbatal (tidak wujud), dan tidak ada lagi habuan untuk mereka dari harta zakat wajib kecuali bagi orang berhajat kepadanya, dan pada sabillillah atau bagi pekerja zakat.

Pendapat Kedua:

Mengatakan bahawa golongan ini wujud setiap masa dan mereka layak mendapat habuan dari harta zakat.

Dalam hal ini Ibn Jarir al-Tabari berkata: “Pada pandanganku, pendapat yang betul dalam hal ini ialah: Allah telah menjadikan zakat itu dalam dua tujuan: Pertama: menolak kecacatan (kelemahan, kesulitan dan sebagainya) yang berlaku pada orang Islam. Kedua: menolong agama Islam dan menguatkannya.

Oleh itu, apa-apa sebab yang boleh menolong agama Islam menguatkannya, maka zakat itu perlu diberi kepadanya, samada ia kaya atau miskin, kerana pemberian itu bukan kerana orang itu berhajat kepadanya, tetapi kerana ia telah menolong agama itu. Begitulah juga zakat itu boleh diberi kepada orang yang berjihad di jalan Allah, samada ia seorang yang kaya atau miskin, pemberian itu kerana dia menolong agama Allah, bukan kerana dia itu miskin atau berada dalam kesulitan harta.

Begitu juga golongan الْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ ini, mereka boleh diberi zakat, walaupun mereka kaya, kerana pemberian itu adalah untuk menuntut sesuatu yang baik dari mereka bagi urusan agama Islam yang akan menguatkan dan mengukuhkan lagi agama Islam.

Rasulullah SAW telah memberi (zakat) kepada golongan ini selepas banyak pembukaan negara, dan tersebarnya Islam serta kuatnya umat Islam. Sunnah Rasulullah ini membuktikan bahawa hujah kumpulan yang mengatakan “Tidak ada lagi golongan muallaf pada hari, kerana bilangan orang Islam sudah ramai” adalah tidak tepat, kerana Rasulullah tetap memberi kepada golongan tersebut dalam keadaan umat Islam ramai dan kuat. (al-Tabari, jld. 14, hlm. 316.)

Kesimpulannya: golongan muallaf kulubuhum ini masih wujud sehingga ke hari ini. Dan mereka sepatutnya diberi habuan harta zakat bagi menarik mereka kepada Islam dan menguatkan Islam serta menyinarkan cahaya Islam. Apatah lagi di zaman ini, Islam dilabel sebagai xtreme, terrorist dan sebagainya.

0 comments: