SILA TINGGALKAN PERSOALAN ANDA DI RUANG SOALAN DI BAWAH SEKALI.

Monday, September 5, 2011

JAMPI YANG DIHARUSKAN OLEH SYARA'




Jampi atau dalam bahasa Arabnya (الرُّقْيَةُ) ialah kata-kata (doa) yang dibaca untuk memohon perlindungan dari kerosakan / kecelakaan. Ia dijampi pada orang yang ditimpa kecelakaan. Seperti ditimpa demam, sawan babi dan lain-lain kecelakaan.

Jampi ini ada 4 bahagian:

1. Jampi dengan kalam Allah (ayat al-Quran) dan dengan nama-nama Allah dan sifat-sifat ketinggianNya. Maka ini adalah harus, bahkan sunat.

2. Jampi dengan zikir-zikir dan doa-doa yang maksur (diambil dari Rasulullah SAW). Maka hukumnya sama seperti yang pertama, iaitu harus.

3. Jampi dengan zikir-zikir dan doa-doa yang tidak maksur, dan ia tidak bertentangan dengan doa yang maksur. Ini juga adalah harus.

4. Jampi dengan perkataan yang tidak masuk akal dari segi maknanya, seperti jampi yang berlaku pada zaman jahiliyyah (jampi yang lain dari yang tiga di atas). Maka hukumnya wajib dijauhi dari jampi jenis ini, supaya ia tidak terjebak dengan perbuatan syirik atau perkara yang boleh membawa kepada syirik.

Ciri-Ciri Jampi yang dibolehkan / diharuskan

Para ulama Islam bersepakat bahawa jampi yang diharuskan mesti memenuhi 3 syarat berikut:

1. Jampi itu terdiri dari ayat-ayat al-Quran, atau nama-nama Allah (Asma’ al-Husna), dan sifat-sifatNya.

2. Jampi itu hendaklah lafazkan dalam bahasa Arab atau mana-mana bahasa yang difahami oleh orang yang dijampi.

3. Orang yang menjampi dan orang yang dijampi hendaklah yakin dan percaya bahawa jampi itu tidak memberi apa-apa kesan dalam menghilangkan bencana, bahkan mereka mesti yakin bahawa Allah SWT yang memberi kesan dalam menghilangkan sesuatu bencana.

Syarat yang perlu dipenuhi oleh orang yang menjampi dan orang yang dijampi; supaya jampi itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan izin Allah SWT ialah seperti berikut:

1. Orang yang menjampi itu hendaklah orang yang berkelayakan; iaitu ia terdiri dari orang yang melakukan kebaikan, beramal soleh dan beristiqamah dalam amalannya.

2. Mengetahui ayat-ayat al-Quran atau zikir atau doa yang sesuai dengan perkara yang hendak dijampi.

3. Orang sakit itu hendaklah dari kalangan orang yang beriman, orang baik, bertaqwa dan beristiqamah dalam agama, menjauhi perkara-perkara haram, maksiat dan kezaliman. Kerana Allah SWT berfirman dalam surah Isra’:

{وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاء وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلاَ يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إَلاَّ خَسَاراً }الإسراء82

82. dan Kami turunkan Dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat suci Yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang Yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang Yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.

Jampi tidak berkesan biasanya, pada orang yang melakukan maksiat dan kemungkaran.

4. Beriman dan berkeyakinan bahawa al-Quran adalah penawar, rahmat dan rawatan yang bermanfaat, maka janganlah sekali-kali menjampi dengan ayat-ayat al-Quran dalam keadaan untuk mencuba-cuba atau buat ujikaji, meskipun ia memberi manfaat, tetapi ia diniatkan untuk perkara lain.

Apabila sempurna syarat-syarat ini, maka manfaat jampi itu akan sempurna dengan izin Allah SWT.

والله أعلم

(Sumber: kitab “ارق نفسك وأهلك بنفسك” (jampilah sendiri untuk dirimu dan keluargamu), karangan: Dr. Khalid bin Abd Rahman al-Juraisy, siri Bekalan Orang Mukmin.)

0 comments: