Soalan Yang Dikemukakan:
Salam ustaz,saya ingin bertanya,apakah patut saya lakukan kerana skrg ni saya dh rasa tidak ada nikmat untuk beribadah ??
Respon:
Waalaikum al-salam, pertama saya bersyukur kepada Allah di atas nikmat Islam dan Iman serta nikmat-nikmat hidup, nikmat makan minum, udara, air, tanah, kelapangan, kesihatan, ketenangan, dan segala bentuk nikmat yang Allah kurniakan kepada saya dan kepada semua manusia dan makhluk Nya di atas muka bumi ini. Jika hendak dihitung, nascaya tidak terhitung banyaknya. Fiman Allah “Jika kamu hitung nikmat Allah nascaya kamu tidak termampu menghitungnya.” Surah Ibrahim:34.
1. Saya mahu memulakan perbicaraan ini dengan menyebut hadis Rasulullah SAW:
عن أنس بن مالك عن النبي (ص) قال: ثلاث من كن فيه وجد حلاوة الإيمان : من كان الله ورسوله أحب إليه مما سواهما ، ومن أحب عبدا لا يحبه إلا لله ، ومن يكره أن يعود في الكفر ، بعد إذ أنقذه الله ، كما يكره أن يلقى في النار .رواه البخاري
Maksudnya: Drpd Anas bin Malik drpd Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perkara yang sesiapa memilikinya, maka ia akan memperolehi KEMANISAN IMAN: iaitu 1. Sesiapa yang sangat mengasihi Allah dan rasulNya melebihi dari perkara lain, 2. Sesiapa yang mengasihi seseorang manusia lain semata-mata kerana Allah, 3. Sesiapa yang benci untuk kembali kepada kekufuran, selepas Allah menyelamatkannya, seperti mana dia benci dirinya dilemparkan ke dalam api neraka.” Hadis sahih riwayat al-Bukhari.
2. Ibadah ialah amalan yang dilakukan kerana mentaati perintah Allah SWT. Ibadah dilakukan sesudah seseorang itu beriman dengan Allah SWT. Jika seseorang itu tidak beriman dengan Allah SWT, segala amalan yang dilakukannya tidak dinilai sebagai ibadah dan tidak diberi apa-apa ganjaran di sisi Allah SWT. Oleh sebab itulah Rasulullah berpesan kepada Muaz bin Jabal ketika diutuskannya ke negeri Yaman supaya menyuruh orang Yaman melafazkan Syahadah dahulu sebelum menyuruh mereka mendirikan solat. Ini kerana Syahadah adalah permulaan keimanan seseorang dengan Allah dan rasulNya, dan selepas itu keimanan itu disusuli dengan amalan ibadah sebagai tanda kesyukuran manusia kepadaNya. Hadis Abdullah bin Abbas berkata:
أن النبي صلى الله عليه وسلم بعث معاذ بن جبل إلى اليمن فقال إنك تأتي قوما أهل كتاب ، فادعهم إلى شهادة أن لا إله إلا الله ، وأني رسول الله ، فإن هم أطاعوك ، فأعلمهم : أن الله عز وجل افترض عليهم خمس صلوات ، في كل يوم وليلة ، فإن هم أطاعوك ، فأعلمهم : أن الله عز وجل قد افترض عليهم صدقة في أموالهم ، تؤخذ من أغنيائهم فتوضع في فقرائهم ، فإن هم أطاعوك لذلك ، فإياك وكرائم أموالهم ، واتق دعوة المظلوم ، فإنها ليس بينها وبين الله عز وجل حجاب" حديث صحيح رواه النسائي.
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW mengutuskan Muaz bin Jabal ke negeri Yaman, maka nabi bersabda: Sesungguhnya engkau Muaz, akan datang kepada Ahli kitab, maka serulah mereka untuk melafazkan dan meyakini bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku adalah Rasulullah, jika mereka mentaati engkau, maka beritahulah mereka bahawa Allah SWT telah mewajibkan ke atas mereka mendirikan solat lima waktu pada setiap hari dan malam, jika mereka mentaati kamu, beritahulah mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka zakat harta mereka, yang diambil dari orang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang miskin dikalangan mereka, jika mereka mentaatimu, maka berhati-hatilah akan kemuliaan harta benda mereka (jangan mengambilnya dengan cara yang salah), dan takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya doa orang yang dizalimi tidak ada benteng di antaranya dengan Allah SWT. (doanya doterima oleh Allah)” Hadis sahih diriwayatkan oleh al-Nasaie.
3. Ibadah yang dilakukan adalah lambang ketaatan manusia kepada Allah SWT yang menciptanya. ia juga adalah tanda kesyukuran manusia terhadap nikmatNya. Allah tidak memperolehi apa-apa kelebihan dengan ibadah yang dilakukan oleh manusia atau hambaNya. Yang mendapat manfaat dari ibadah tersebut ialah manusia sendiri. firman Allah :
{وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ }إبراهيم7
Maksudnya: “Dan ketika Tuhanmu memberitahu, jika kamu bersyukur (di atas nikmat Allah) nascaya (Allah) akan tambahkan kelebihanNya bagi kamu, dan jika kamu kufur (tidak mensyukuri nikmat Allah), ingatlah bahawa azabKu amatlah pedih.” Surah Ibrahim:7.
Kesimpulannya:
1. Ibadah adalah satu cara seorang hamba mensyukuri nikmat Allah SWT.
2. Sesuatu ibadah perlu didahuli dengan keimanan yang jitu kepada Allah SWT, tanpa keimanan yang bulat kepadaNya ibadah akan mudah menjadi goyah.
3. Kebaikan sesuatu Ibadah yang dilakukan itu akan kembali kepada si pelakunya. Allah tidak mendapat apa-apa manfaat atau faedah sedikit pun dari ibadah yang dilakukan oleh manusia atau makhlukNya.
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, mengapa tidak ada kenikmatan dalam beribadah?
Jawapan yang paling ringkas ialah kerana lemahnya iman kepada Allah. Tidak yakin dengan janji-janji Allah, tidak yakin dengan qada’ dan qadar, tidak merasai bahawa diri itu adalah hambaNya, tidak pernah berfikir hikmah sesuatu ibadah itu disyariatkan, terlalu sibuk dengan urusan dunia, tidak pernah merenung akan kejadian alam yang terdiri dari manusia, jin, gunung-ganang, bukit-bukau, lautan, sungai dan sebagainya dan berbagai lagi sebabnya.
Apabila ibadah dilakukan dalam keadaan diri tidak yakin dengan Allah dan rasulNya, tidak mengetahui asal usulnya, tidak mengetahui hikmahnya, manfaatnya dan sebagainya, masakan diri itu dapat memperolehi kemanisannya. Analoginya adalah mudah sekali:
1. Jika seseorang pekerja kontrak binaan melakukan kerja dibawah power majikannya, dia tidak mengetahui berapakah gaji yang akan diberikan oleh majikannya, sedikitkah atau banyakkah, adakah dia akan bekerja dengan senang hati? Adakah dia bekerja dengan gembira? adakah dia bekerja sambil mengharapkan sesuatu yang ganjaran yang menyeronokkan? Jawapannya : dia bekerja dalam keadaan tidak senang kerana tidak tahu berapakah ganjaran yang dia akan perolehi, kerana tidak diberitahu oleh majikannya.
2. Jika majikannya sudah memberitahu bahawa dia akan memperolehi gaji yang lumayan, tetapi dia tidak yakin dengan janji majikannya itu. Adakah dia akan bekerja dengan senang hati dan penuh keseronokan? Jawapannya: tidak juga, kerana walaupun dia mengetahui bahawa gajinya lumayan, tetapi dia tidak yakin dengan majikannya.
Moralnya disini: selagi mana pekerja itu tidak yakin dengan janji majikannya, selagi itulah dia tidak gembira dengan pekerjaannya. Dia mesti yakin dengan janji yang buat oleh majikannya, barulah dia akan bekerja dengan seronok, gembira dan mengharap ganjaran yang akan diperolehi.
Pokok pangkalnya keyakinan kita dengan janji-janji Allah. Allah telah menjanjikan balasan dan ganjaran yang baik dan besar bagi orang yang beriman dan mentaatiNya di akhirat kelak. Dengan keyakinan yang kuat dan teguh dengan janji-janji Allah tersebut, nascaya seseorang itu akan beribadah dengan penuh semangat, seronok, ikhlas dan tanpa mengharap apa-apa imbuhan dari manusia lain.
Ringkasnya, manusia tidak merasai nikmat ibadah yang dilakukan itu kerana dia tidak yakin, atau kurang yakin, atau was-was dengan janji-janji Allah kepada hambaNya. Mungkin dia melakukan ibadah tersebut dalam keadaan terpaksa, terikut-ikut, malu kepada manusia lain, dan sebagainya.
Untuk mengatasi masalah ini, marilah kita menguatkan iman masing-masing kepada Allah SWT. Meneroka janji-janji Allah dalam al-Quran dan al-Sunnah. Mengkaji al-Quran dan membongkarkan rahsia yang terdapat di dalamnya.
BAGAIMANA HENDAK MENAMBAHKAN KEYAKINAN DAN KEIMANAN KEPADA ALLAH?
Untuk menjawab persoalan ini, di sini diturunkan beberapa ayat al-Quran yang menyuruh manusia berfikir, mengkaji, memerhati, dan meneliti semua fenomena dan keadaan yang ada untuk melahirkan keyakinan dan keimanan kepada Allah.
Firman Allah SWT:
}أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا }محمد24
Maksudnya: “ (setelah diterangkan Yang demikian) maka Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?”
{أَفَلاَ يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللّهِ لَوَجَدُواْ فِيهِ اخْتِلاَفاً كَثِيراً }النساء82
Maksudnya: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan Yang banyak di dalamnya.”
· Bagi menambah keimanan kita kepada Allah, kita hendaklah memikirkan isi-isi al-Quran dan menghayati kebenarannya.
{إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لِّأُوْلِي الألْبَابِ }آل عمران190
190. Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal;
· Bagi menambah keimanan kita kepada Allah, kita hendaklah memikirkan keajaiban ciptaan langit dan bumi.
{لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُوْلِي الأَلْبَابِ مَا كَانَ حَدِيثاً يُفْتَرَى وَلَـكِن تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلَّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ }يوسف111
111. Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran Yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang Yang mempunyai akal fikiran. (kisah Nabi-nabi Yang terkandung Dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita Yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa Yang tersebut di Dalam Kitab-kitab ugama Yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan Yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum Yang (mahu) beriman.
· Bagi menambah keimanan kita kepada Allah, kita hendaklah mengambil pengajaran dari kisah-kisah nabi yang terdahulu.
{كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ }ص29
29. (Al-Quran ini) sebuah Kitab Yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab Yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami Dengan teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang Yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.
· Bagi menambah keimanan kita kepada Allah, kita hendaklah Mentadabbur al-Quran, memahami dan berfikir dengan teliti akan ayat-ayat al-Quran.
{أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَسَلَكَهُ يَنَابِيعَ فِي الْأَرْضِ ثُمَّ يُخْرِجُ بِهِ زَرْعاً مُّخْتَلِفاً أَلْوَانُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرّاً ثُمَّ يَجْعَلُهُ حُطَاماً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَذِكْرَى لِأُوْلِي الْأَلْبَابِ }الزمر21
21. tidakkah Engkau memerhatikan, Bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi matair-matair di bumi; kemudian ia menumbuhkan Dengan air itu tanaman-tanaman Yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa Yang tertentu), selepas itu Engkau melihatmu berupa kuning; kemudian ia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya Segala Yang tersebut itu mengandungi peringatan Yang menyedarkan orang-orang Yang berakal sempurna.
· Bagi menambah keimanan kita kepada Allah, kita hendaklah Mengkaji al-Quran sambil memikirkan fenomena alam yang berlaku yang membuktikan kebenaran al-Quran.
KESIMPULAN KESELURUHAN
1. Untuk mendapat kemanisan beribadah, perlu dimulakan dengan kemanisan iman. Untuk mendapat kemanisan iman, perlulah ada keyakinan yang bulat kepada Allah, RasulNya, jan-janjiNya, Qada’ dan QadarNya. Untuk mendapat keyakinan yang bulat kepada Allah, perlulah memperlajari, mengkaji, memikirkan dan menghayati ayat-ayat al-Quran sambil mengkaji fenomena alam yang yang membenarkannya.
2. Sesudah keimanan dan keyakinan diperolehi, perlulah disusuli dengan pengawasan dan penjagaan iman. Jangan biarkan diri ditipu oleh hasutan jin dan manusia yang mahu menghancurkan keimanan yang dibina. Antara cara pengawasan ini ialah sentiasa berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah SWT., mendampingi orang-orang yang baik (orang alim), menjauhi golongan fasik yang banyak buat dosa.
Sekadar itu sahaja, respon yang boleh saya berikan, semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada kita semua untuk mentaatiNya dan mengikut syariatNya. Ameen.
0 comments:
Post a Comment