SILA TINGGALKAN PERSOALAN ANDA DI RUANG SOALAN DI BAWAH SEKALI.

Tuesday, September 13, 2011

WAKTU DOA YANG MUSTAJAB


PERSOALAN:

Ada orang berpendapat bahawa doa yang perlu dipanjangkan dan diperbanyakkan ketika bersolat ialah di waktu sujud. Manakala doa selepas solat tidak perlu dipanjangkan. Apakah pandangan anda?


RESPON SAYA BERDASARKAN KITAB-KITAB YANG DIBACA:

Tempat-tempat yang mustajab kita berdoa ketika menunaikan solat lima waktu ialah

1. Ketika sujud dalam solat

2. Ketika sesudah membaca tasyahud akhir

3. Ketika selesai menunaikan solat lima waktu

Di sini saya turunkan beberapa hadis sahih yang dijadikan sebagai dalil oleh para ulama untuk membenarkan kenyataan di atas:

1. Dalil Perlu Perbanyakkan Doa Ketika Sujud.

عن ابن عباس رضي الله عنه قال: رَفَعَ رَسُوْلُ اللهِ (ص) السِّتَارَةَ فَرَأَى النَّاسَ صُفُوْفًا خَلْفَ أَبِيْ بَكْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، فَقَالَ: إِنَّهُ لَمْ يَبْقَ مِنْ مُبَشَّرَاتِ النُّبُوَّةِ إِلَّا الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ يَرَاهَا الْمُسْلِمُ، أَوْ تُرَى لَهُ، وَإِنِّيْ نُهِيْتُ أَنْ أَقْرَأَ فِي الرُّكُوْعِ وَالسُّجُوْدِ، فَأَمَّا الرُّكُوْعُ فَعَظِّمُوْا فِيْهِ الرَّبَّ، وَأَمَّا السُّجُوْدُ فَاجْتَهِدُوْا فِي الدُّعَاءِ فقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ. – رواه مسلم والطبراني،

Daripada Ibn Abbas r.a. berkata: Rasulullah SAW mengangkat tirai, lantas baginda melihat manusia berbaris-baris di belakang Abu Bakar r.a, lantas baginda bersabda: “Sesungguhnya tidak terdapat lagi berita-berita gembira kenabian kecuali mimpi yang baik, yang dialami oleh seorang muslim, atau diperlihatkan baginya (mimpi itu), dan aku telah dilarang dari membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud, maka dalam rukuk kamu agungkanlah Allah, dan dalam sujud kamu bersungguh-sungguhlah berdoa, sebenarnya doa kamu akan diterima .” Hadis riwayat al-Tabrani dan Muslim.

عن أبي هريرة عن رسول الله (ص) قال: أَقْرَبُ مَا يَكُوْنُ الْعَبْدُ مِنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوْا الدُّعَاءَ. رواه مسلم والنسائي وأبو داود اسناده صحيح.

Daripada Abu Hurairah, dari Rasulullah SAW bersabda: “Tempat yang paling dekat seorang hamba dengan Allah ialah ketika dia bersujud, maka perbanyakkanlah doa.” Riwayat Muslim, al-Nasaie, Abu Daud, sanadnya sahih.

2. Dalil Saranan Rasulullah SAW supaya berdoa selepas membaca Tasyahud Akhir.

عن عبد الله بن مسعود رضي الله عنه، أن رسول الله (ص) عَلَّمَهُمْ التَّشَهُّدَ فِي الصَّلَاةِ، ثُمَّ قَالَ فِيْ آخِرِهِ: "ثُمَّ يَتَخَيَّرَ مِنَ الدُّعَاءِ أَعْجَبَهُ إِلَيْهِ فَيَدْعُوْ". رواه البخاري

Daripada Abdullah bin Mas’ud, bahawa Rasulullah SAW mengajar mereka tasyahud dalam solat, kemudian baginda bersabda di akhirnya: “kemudian pilihlah doa yang ia meminatinya dan dia berdoa.”. Riwayat al-Bukhari.

3. Dalil Waktu yang mustajab doa dioanjatkan kepada Allah.

عن أبي أمامة الباهلي رضي الله عنه قال: قِيْلَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ أَيُّ الدُّعَاءِ اسمع؟ قَالَ: "جَوْفَ اللَّيِلْ اْلآخِرِ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوْبَاتِ". رواه الترمذي وحسنه وكذا حسنه الألباني.

Daripada Abi Umamah al-Bahili r.a. berkata: ditanya: Wahai Rasulullah! manakah satu (ketika) doa akan didengari (oleh Allah)? Rasullullah bersabda: “Doa ketika separuh malam terakhir dan doa di belakang solat fardhu lima waktu.”

Kesimpulan:

1. Ketiga-tiga waktu di atas adalah waktu yang mustajab berdoa, berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan di atas.

2. Tidak seharusnya kita mengatakan bahawa doa ketika sujud lebih mustajab dari doa di waktu lain kerana perkara itu tidak pernah dibandingkan oleh Rasulullah SAW.

3. Rasulullah SAW hanya menjelaskan waktu-waktu yang mustajab berdoa, waktu-waktu itu banyak selain dari tiga yang disebut di atas, dan baginda tidak pernah menyebut bahawa waktu ini lebih baik dari waktu itu atau sebaliknya.

4. Oleh itu, dalam perkara-perkara furu’ pengamalan ibadah ini, kita tidak perlu berselisih pendapat yang membawa kepada perbalahan yang besar dan bermasam muka.

5. Bagi seseorang yang mahu memanjangkan doa dalam sujud, janganlah mengatakan bahawa doa selepas solat itu tidak afdal. Dan begitu juga bagi orang yang mahu memanjangkan doa selepas solat, janganlah mengatakan bahawa doa dalam sujud tidak wajar dipanjangkan.

6. Perselisihan ini dinamakan خلاف التنوع atau perselisihan dalam menentukan yang mana lebih afdal. Ada ulama mengatakan cara “A” lebih afdal berdasarkan dalilnya, dan ada ulama yang mengatakan cara “B” lebih afdal berdasarkan dalilnya. Ini berdasarkan ijtihad masing-masing, namun yang penting cara “A” tidak membatalkan cara “B” dan begitu juga sebaliknya. Yang paling penting keikhlasan melakukan ibadah itu yang menentukan samada ia diterima atau ditolak oleh Allah SWT.


Perbezaan dalil tentang tempat dan masa mustajab berdoa ini juga menunjukkan bahawa luasnya bidang pengamalan ibadah dalam Islam. Sesuatu pengamalan itu tidak rigid pada masa atau tempat tertentu sahaja, malah ia boleh diamalkan di banyak tempat dan masa mengikut kesesuaian dan kelapangan seseorang itu hendak melakukannya. Inilah dinamiknya Islam dan mudahnya syariat Islam.


Allah ua’lam.

1 comments:

rihaz razak said...

jazakallah ustaz...penjelasan yang baik beserta dalil...