SILA TINGGALKAN PERSOALAN ANDA DI RUANG SOALAN DI BAWAH SEKALI.

Monday, October 10, 2011

HARAM MELIHAT AURAT

Pandangan kepada aurat manusia adalah wajib dielak dan dijauhkan. Rasulullah SAW melarang umatnya dari melihat aurat manusia, walaupun dari lelaki kepada lelaki lain, atau dari perempuan kepada perempuan lain, samada dengan syahwat atau tanpa syahwat. Sabda Rasulullah SAW:

"لا ينظر الرجل إلى عورة الرجل ولا تنظر المرأة إلى عورة المرأة، ولا يفضي الرجل إلى الرجل في الثوب الواحد، ولا المرأة إلى المرأة في الثوب الواحد". رواه مسلم وأحمد وأبو داود والترمذي.

Maksudnya: “Tidak (dibenarkan) seorang lelaki itu melihat aurat lelaki lain, dan tidak (dibenarkan) perempuan itu melihat aurat perempuan lain, dan tidak (dibenarkan) seorang lelaki itu bersembunyi dengan lelaki lain dalam satu pakaian, dan tidak (dibenarkan) seorang perempuan itu bersembunyi dengan perempuan lain dalam satu pakaian.” Hadsi riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan al-Turmuzi.

Aurat lelaki yang haram dilihat oleh lelaki lain atau perempuan lain ialah bahagian di antara lutut dan pusat, seperti disebut dalam sebuah hadis, namun sebahagian Imam seperti Imam Ibn Hazmin dan sebahagian dari Malikiah berpendapat bahawa paha bukanlah aurat.

Aurat perempuan dengan seorang lelaki asing (bukan mahram) ialah seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan.

Bahagian aurat yang haram dilihat dengan mata, ia juga haram disentuh dengan tangan atau dengan mana-mana anggota badan yang lain. Semua bahagian yang diharamkan melihat dan menyentuhnya adalah disyarat kan dalam keadaan tanpa darurat atau keperluan. Jika dalam keadaan darurat seperti kecemasan atau perubatan, maka bahagian aurat itu boleh dilihat atau disentuh.

Manakala semua bahagian yang diharuskan melihatnya adalah disyaratkan dalam keadaan tidak menimbulkan fitnah dan tanpa syahwat. Jika dalam keadaan timbulkan fitnah atau bersyahwat, maka hukumnya menjadi haram juga.

HAD KEHARUSAN MELIHAT SEORANG LELAKI ATAU SEORANG PEREMPUAN

Seperti penjelasan di atas, seorang perempuan melihat lelaki pada bahagian yang bukan auratnya adalah harus, selagi mana ia tidak disertakan dengan perasaan syahwat, dan selamat dari fitnah. Ini berdasarkan “keizinan Rasulullah SAW kepada Aishah untuk melihat orang Habsyah yang sedang bermain pedang dalam masjid al-Nabawi. Saidatina Aishah melihat mereka sehingga jemu dan kemudian dia beredar dari situ.” Al-Bukhari dan Muslim.

Begitu jugu hukum seorang lelaki melihat perempuan pada bahagian yang diharuskan (muka dan tapak tangan), ia juga adalah harus selagi mana tidak disertakan dengan perasaan syahwat dan selamat dari fitnah.

عن عائشة أن أسماء بنت أبي بكر – أختها- دخلت على النبي (ص) في لباس رقيق يشف عن جسمها، فأعرض النبي (ص) عنها وقال: "يا أسماء إن المرأة إذا بلغت المحيض لم يصلح لأن يُرى منها إلا هذا وهذا." وأشار إلى وجهه وكفيه. رواه أبو داود.

Daripada Aishah, bahawa Asma’ binti Abu Bakar (saudaranya) telah datang berjumpa Nabi SAW dengan berpakaian nipis yang menampakkan badannya, maka Nabi SAW menolak dari berjumpa dengannya, dan baginda bersabda: “Wahai Asma’, seorang wanita apabila sudah datang haid, maka tidak wajar dilihat bahagian badannya kecuali ini dan ini.” Baginda menunjuk muka dan tangannya. Riwayat Abu Daud.

Dalam hadis ini, terdapat sanad yang daif, tetapi terdapat hadis-hadis lain yang sahih menguatkannya dengan menjelaskan keharusan melihat muka dan dua tapak tangan ketika selamat dari fitnah.

Kesimpulannya:

Pandangan yang bersih pada bahagian bukan aurat lelaki atau perempuan adalah HALAL selagi mana ia selamat dari fitnah dan tidak terdapat sifat pengulangan yang biasanya disertai dengan perasaan seronok.

Dengan sifat kemaafan Islam juga, segala bentuk pandangan yang cepat, yang berlaku pada manusia secara tiba-tiba ketika melihat sesuatu yang tidak dibenarkan melihatnya adalah dimaafkan. Ini berdasarkan hadis:

عن جرير بن عبد الله قال: سألت رسول الله (ص) عن نظر الفجاءة فقال: "اصرف بصرك" يعني لا تعاود النظر مرة ثانية. رواه أحمد ومسلم وأبو داود والترمذي.

Maksudnya: Daripada Jarir bin Abdullah berkata: Aku bertanya Rasulullah SAW tentang pandangan yang tiba-tiba, baginda bersabda: “Alihkan pandanganmu.” Ertinya: tidak mengulangi pandangan kedua. Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan al-Turmuzi.

(Sumber: Kitab الحلال والحرام في الإسلام, karangan Dr. Yusof al-Qaradawi, cetakan 1997, hlm. 138-139.)

والله أعلى وأعلم

0 comments: