Monday, November 7, 2011

QASAR SOLAT:



Seseorang itu wajib menjaga syarat-syarat berikut bagi menjadikan solat qasarnya itu sah:

1. Orang musafir itu hendaklah memulakan perjalanannya sebelum masuk waktu solat tersebut. Jika perjalanan itu bermula selepas masuk waktu solat, sedang dia belum menunaikan solat tersebut, maka haram baginya bersolat qasar kerana ia belum lagi dinamakan musafir ketika masuk waktu solat itu.

2. Orang musafir itu hendaklah berada di luar jajahan qaryahnya kerana jika ia masih berada di dalam jajahan qaryahnya, ia tidak dinamakan musafir. Musafir itu bermula di saat ia melangkaui jajahan qaryahnya. Ini berdasarkan Hadis riwayat al-Bukhari:

عن أنس رضي الله عنه قال: صليتُ الظهر مع النبي بالمدينة أربعا، والعصر بذي الحليفة ركعتين. وذي الحليفة خارج عمران المدينة.

Daripada Anas r.a: katanya: “Aku bersolat zohor bersama Nabi SAW di Madinah empat rakaat, dan solat asar di Zulhalifah dua rakaat. Zulhalifah adalah luar jajahan Madinah.”

3. Orang musafir itu tidak berniat untuk bermukim di suatu tempat itu 4 hari atau lebih, tidak termasuk hari perjalanan dan hari balik. Jika dia berniat untuk bermukim di situ 4 hari atau lebih, maka jadilah hukumnya seperti mana dia berada di tempat mustautinnya. Maka haram baginya qasar solat ketika di situ. Kelayakan qasar solat itu hanya boleh ketika dalam perjalanan sahaja.

Jika dia berniat untuk bermukim di satu tempat itu kurang dari 4 hari, maka dia boleh qasar solat sehinggalah dia balik ke qaryahnya (rumahnya).

Jika dia tidak mengetahui tempohnya berada di tempat tersebut kerana dia tidak mengetahui bilakah urusannya di situ akan selesai, maka dia boleh qasar solat sehingga hari yang ke-12, tidak termasuk hari pergi dan hari balik.

Ini berdasarkan hadis Nabi riwayat Abu Daud:

عن عمران بن حصين رضي الله عنه قال: غزوت مع رسول الله (ص)، وشهدت معه الفتح، فأقام بمكة ثماني عشرة ليلة، لا يصلي إلا ركعتين". لأن النبي أقام هذه المدة بمكة عام الفتح لحرب هوازن يقصر الصلاة، ولم يكن يعلم المدة التي سيضطر لبقائها.

Drpd. Umran bin Husin r.a. berkata: “Aku keluar berekpidisi bersama Rasulullah SAW, dan aku menyaksikan pembukaan Mekah, maka baginda berada (bermukim) di Mekah selama 12 hari dan malam, dan baginda tidak bersolat kecuali dua rakaat (solat qasar).” Kerana Nabi bermukim di Mekah pada tempoh ini, pada tahun Pembukaan Mekah, untuk menyerang kaum Hawazin, maka baginda qasarkan solat, dan baginda tidak mengetahui tempoh berapa lama baginda akan berada di situ.

4. Orang musafir (yang bersolat qasar) itu tidak boleh mengikut (menjadi makmum) kepada orang yang bermukim. Jika dia mengikut orang yang bermukim, maka wajib ke atasnya menyempurnakan solat itu 4 rakaat dan haram baginya qasar.

Tapi jika orang bermusafir itu (bersolat qasar) menjadi imam kepada orang yang bermukim diharuskan. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW riwayat Ahmad:

عن ابن عباس رضي الله عنهما أنه سئل: ما بال المسافر يصلي ركعتين إذا انفرد، وأربعا إِذَا ائْتَمَّ بمقيم؟ فقال: تلك هي السنة.

عمران رضي الله عنه يقول: "يا أهل البلد صلوا أربعا، وفإنانا قومٌ سَفَرٌ"

Drpd. Ibn Abbas r.a. beliau ditanya: Apa halnya orang musafir bersolat dua rakaat apabila berseorangan, dan 4 rakaat apabila berimamkan orang yang bermukim? Kata Ibn Abbas: “Itu adalah sunnah.”

Imran r.a. berkata: “Wahai penduduk negeri ini, kamu solatlah 4 rakaat, sesungguhnya kami adalah kumpulan yang bermusafir (jadi kami boleh solat dua rakaat.)

الله أعلم

المصدر: كتاب الفقه المنهجي على مذهب الإمام الشافعي، الدكتور مصطفى البغا والدكتور مصطفى الخن، دار القلم: دمشق، الجزء الأول، الطبعة 1992، صفحة: 187.

Monday, October 10, 2011

HARAM MELIHAT AURAT

Pandangan kepada aurat manusia adalah wajib dielak dan dijauhkan. Rasulullah SAW melarang umatnya dari melihat aurat manusia, walaupun dari lelaki kepada lelaki lain, atau dari perempuan kepada perempuan lain, samada dengan syahwat atau tanpa syahwat. Sabda Rasulullah SAW:

"لا ينظر الرجل إلى عورة الرجل ولا تنظر المرأة إلى عورة المرأة، ولا يفضي الرجل إلى الرجل في الثوب الواحد، ولا المرأة إلى المرأة في الثوب الواحد". رواه مسلم وأحمد وأبو داود والترمذي.

Maksudnya: “Tidak (dibenarkan) seorang lelaki itu melihat aurat lelaki lain, dan tidak (dibenarkan) perempuan itu melihat aurat perempuan lain, dan tidak (dibenarkan) seorang lelaki itu bersembunyi dengan lelaki lain dalam satu pakaian, dan tidak (dibenarkan) seorang perempuan itu bersembunyi dengan perempuan lain dalam satu pakaian.” Hadsi riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan al-Turmuzi.

Aurat lelaki yang haram dilihat oleh lelaki lain atau perempuan lain ialah bahagian di antara lutut dan pusat, seperti disebut dalam sebuah hadis, namun sebahagian Imam seperti Imam Ibn Hazmin dan sebahagian dari Malikiah berpendapat bahawa paha bukanlah aurat.

Aurat perempuan dengan seorang lelaki asing (bukan mahram) ialah seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan.

Bahagian aurat yang haram dilihat dengan mata, ia juga haram disentuh dengan tangan atau dengan mana-mana anggota badan yang lain. Semua bahagian yang diharamkan melihat dan menyentuhnya adalah disyarat kan dalam keadaan tanpa darurat atau keperluan. Jika dalam keadaan darurat seperti kecemasan atau perubatan, maka bahagian aurat itu boleh dilihat atau disentuh.

Manakala semua bahagian yang diharuskan melihatnya adalah disyaratkan dalam keadaan tidak menimbulkan fitnah dan tanpa syahwat. Jika dalam keadaan timbulkan fitnah atau bersyahwat, maka hukumnya menjadi haram juga.

HAD KEHARUSAN MELIHAT SEORANG LELAKI ATAU SEORANG PEREMPUAN

Seperti penjelasan di atas, seorang perempuan melihat lelaki pada bahagian yang bukan auratnya adalah harus, selagi mana ia tidak disertakan dengan perasaan syahwat, dan selamat dari fitnah. Ini berdasarkan “keizinan Rasulullah SAW kepada Aishah untuk melihat orang Habsyah yang sedang bermain pedang dalam masjid al-Nabawi. Saidatina Aishah melihat mereka sehingga jemu dan kemudian dia beredar dari situ.” Al-Bukhari dan Muslim.

Begitu jugu hukum seorang lelaki melihat perempuan pada bahagian yang diharuskan (muka dan tapak tangan), ia juga adalah harus selagi mana tidak disertakan dengan perasaan syahwat dan selamat dari fitnah.

عن عائشة أن أسماء بنت أبي بكر – أختها- دخلت على النبي (ص) في لباس رقيق يشف عن جسمها، فأعرض النبي (ص) عنها وقال: "يا أسماء إن المرأة إذا بلغت المحيض لم يصلح لأن يُرى منها إلا هذا وهذا." وأشار إلى وجهه وكفيه. رواه أبو داود.

Daripada Aishah, bahawa Asma’ binti Abu Bakar (saudaranya) telah datang berjumpa Nabi SAW dengan berpakaian nipis yang menampakkan badannya, maka Nabi SAW menolak dari berjumpa dengannya, dan baginda bersabda: “Wahai Asma’, seorang wanita apabila sudah datang haid, maka tidak wajar dilihat bahagian badannya kecuali ini dan ini.” Baginda menunjuk muka dan tangannya. Riwayat Abu Daud.

Dalam hadis ini, terdapat sanad yang daif, tetapi terdapat hadis-hadis lain yang sahih menguatkannya dengan menjelaskan keharusan melihat muka dan dua tapak tangan ketika selamat dari fitnah.

Kesimpulannya:

Pandangan yang bersih pada bahagian bukan aurat lelaki atau perempuan adalah HALAL selagi mana ia selamat dari fitnah dan tidak terdapat sifat pengulangan yang biasanya disertai dengan perasaan seronok.

Dengan sifat kemaafan Islam juga, segala bentuk pandangan yang cepat, yang berlaku pada manusia secara tiba-tiba ketika melihat sesuatu yang tidak dibenarkan melihatnya adalah dimaafkan. Ini berdasarkan hadis:

عن جرير بن عبد الله قال: سألت رسول الله (ص) عن نظر الفجاءة فقال: "اصرف بصرك" يعني لا تعاود النظر مرة ثانية. رواه أحمد ومسلم وأبو داود والترمذي.

Maksudnya: Daripada Jarir bin Abdullah berkata: Aku bertanya Rasulullah SAW tentang pandangan yang tiba-tiba, baginda bersabda: “Alihkan pandanganmu.” Ertinya: tidak mengulangi pandangan kedua. Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan al-Turmuzi.

(Sumber: Kitab الحلال والحرام في الإسلام, karangan Dr. Yusof al-Qaradawi, cetakan 1997, hlm. 138-139.)

والله أعلى وأعلم

Sunday, October 9, 2011

HUKUM CIUM TANGAN

(Dr. Ali al-Jum'ah: Mufti Mesir sekarang)

Soalan:

Kami melihat ramai di kalangan penuntut ilmu mencium tangan guru-guru dan shiekh2 mereka. sejauhmanakah keharusan perkara tersebut?

Jawapan:

Bentuk-bentuk penghormatan manusia kepada orang-orang tertentu adalah berbeza mengikut kebiasaan sesebuah masyarakat dan adat-adat mereka. Contohnya kita melihat di negeri al-jazirah, orang arab mencium hidung bapa mereka sebagai menghormatinya, dan mereka mencium kepala orang alim. Hukum asal bagi perkara ini ialah HARUS selagi mana tidak terdapat tegahan secara khusus tentangnya.

Manakala mencium tangan orang Alim, maka hukumnya adalah HARUS mencium tangan orang alim yang warak dan pemerintah yang adil, ibubapa, guru-guru, dan setiap orang yang berhak dimuliakan dan dihormati. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sunannya:

Daripada Ibn Umar, bahawa dia ketika berada dalam salah satu kumpulan tentera kecil bersama Rasulullah SAW, dia menceritakan satu cerita, katanya: “Kami mendekati Rasulullah SAW dan kami mencium tangan baginda.” (Riwayat Abu Daud)

Dari segi pandangan ulama fiqh pula, mereka bersepakat menyatakan bahawa TIDAK HARAM mencium tangan orang alim yang soleh, bahkan mereka berpendapat hukumnya adalah harus dan digalakkan.

Imam al-Nawawi berkata: Disunatkan mencium tangan lelaki yang soleh, zuhud dan alim dan seumpamanya dari kalangan ahli Akhirat; manakala mencium tangan seseorang kerana kekayaannya, keduniaannya, kekuatannya, kemegahannya di kalangan ahli dunia dengan dunianya, dan seumpamanya adalah tersangat makruh. al-Mutawali berkata: tidak harus (haram). Mencium kepala dan kaki juga samalah dengan mencium tangan.

(Sumber: Buku البيان لما يشغل الأذهان, 100 fatwa Dr. Ali al-Jum’ah: Mufti Republik Mesir)

Sunday, September 18, 2011

MENGAPA TIADA KEMANISAN BERIBADAH?

Soalan Yang Dikemukakan:

Salam ustaz,saya ingin bertanya,apakah patut saya lakukan kerana skrg ni saya dh rasa tidak ada nikmat untuk beribadah ??

Respon:

Waalaikum al-salam, pertama saya bersyukur kepada Allah di atas nikmat Islam dan Iman serta nikmat-nikmat hidup, nikmat makan minum, udara, air, tanah, kelapangan, kesihatan, ketenangan, dan segala bentuk nikmat yang Allah kurniakan kepada saya dan kepada semua manusia dan makhluk Nya di atas muka bumi ini. Jika hendak dihitung, nascaya tidak terhitung banyaknya. Fiman Allah “Jika kamu hitung nikmat Allah nascaya kamu tidak termampu menghitungnya.” Surah Ibrahim:34.

1. Saya mahu memulakan perbicaraan ini dengan menyebut hadis Rasulullah SAW:

عن أنس بن مالك عن النبي (ص) قال: ثلاث من كن فيه وجد حلاوة الإيمان : من كان الله ورسوله أحب إليه مما سواهما ، ومن أحب عبدا لا يحبه إلا لله ، ومن يكره أن يعود في الكفر ، بعد إذ أنقذه الله ، كما يكره أن يلقى في النار .رواه البخاري

Maksudnya: Drpd Anas bin Malik drpd Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perkara yang sesiapa memilikinya, maka ia akan memperolehi KEMANISAN IMAN: iaitu 1. Sesiapa yang sangat mengasihi Allah dan rasulNya melebihi dari perkara lain, 2. Sesiapa yang mengasihi seseorang manusia lain semata-mata kerana Allah, 3. Sesiapa yang benci untuk kembali kepada kekufuran, selepas Allah menyelamatkannya, seperti mana dia benci dirinya dilemparkan ke dalam api neraka.” Hadis sahih riwayat al-Bukhari.

2. Ibadah ialah amalan yang dilakukan kerana mentaati perintah Allah SWT. Ibadah dilakukan sesudah seseorang itu beriman dengan Allah SWT. Jika seseorang itu tidak beriman dengan Allah SWT, segala amalan yang dilakukannya tidak dinilai sebagai ibadah dan tidak diberi apa-apa ganjaran di sisi Allah SWT. Oleh sebab itulah Rasulullah berpesan kepada Muaz bin Jabal ketika diutuskannya ke negeri Yaman supaya menyuruh orang Yaman melafazkan Syahadah dahulu sebelum menyuruh mereka mendirikan solat. Ini kerana Syahadah adalah permulaan keimanan seseorang dengan Allah dan rasulNya, dan selepas itu keimanan itu disusuli dengan amalan ibadah sebagai tanda kesyukuran manusia kepadaNya. Hadis Abdullah bin Abbas berkata:

أن النبي صلى الله عليه وسلم بعث معاذ بن جبل إلى اليمن فقال إنك تأتي قوما أهل كتاب ، فادعهم إلى شهادة أن لا إله إلا الله ، وأني رسول الله ، فإن هم أطاعوك ، فأعلمهم : أن الله عز وجل افترض عليهم خمس صلوات ، في كل يوم وليلة ، فإن هم أطاعوك ، فأعلمهم : أن الله عز وجل قد افترض عليهم صدقة في أموالهم ، تؤخذ من أغنيائهم فتوضع في فقرائهم ، فإن هم أطاعوك لذلك ، فإياك وكرائم أموالهم ، واتق دعوة المظلوم ، فإنها ليس بينها وبين الله عز وجل حجاب" حديث صحيح رواه النسائي.

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW mengutuskan Muaz bin Jabal ke negeri Yaman, maka nabi bersabda: Sesungguhnya engkau Muaz, akan datang kepada Ahli kitab, maka serulah mereka untuk melafazkan dan meyakini bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku adalah Rasulullah, jika mereka mentaati engkau, maka beritahulah mereka bahawa Allah SWT telah mewajibkan ke atas mereka mendirikan solat lima waktu pada setiap hari dan malam, jika mereka mentaati kamu, beritahulah mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka zakat harta mereka, yang diambil dari orang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang miskin dikalangan mereka, jika mereka mentaatimu, maka berhati-hatilah akan kemuliaan harta benda mereka (jangan mengambilnya dengan cara yang salah), dan takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya doa orang yang dizalimi tidak ada benteng di antaranya dengan Allah SWT. (doanya doterima oleh Allah)” Hadis sahih diriwayatkan oleh al-Nasaie.

3. Ibadah yang dilakukan adalah lambang ketaatan manusia kepada Allah SWT yang menciptanya. ia juga adalah tanda kesyukuran manusia terhadap nikmatNya. Allah tidak memperolehi apa-apa kelebihan dengan ibadah yang dilakukan oleh manusia atau hambaNya. Yang mendapat manfaat dari ibadah tersebut ialah manusia sendiri. firman Allah :

{وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ }إبراهيم7

Maksudnya: “Dan ketika Tuhanmu memberitahu, jika kamu bersyukur (di atas nikmat Allah) nascaya (Allah) akan tambahkan kelebihanNya bagi kamu, dan jika kamu kufur (tidak mensyukuri nikmat Allah), ingatlah bahawa azabKu amatlah pedih.” Surah Ibrahim:7.


Kesimpulannya:

1. Ibadah adalah satu cara seorang hamba mensyukuri nikmat Allah SWT.

2. Sesuatu ibadah perlu didahuli dengan keimanan yang jitu kepada Allah SWT, tanpa keimanan yang bulat kepadaNya ibadah akan mudah menjadi goyah.

3. Kebaikan sesuatu Ibadah yang dilakukan itu akan kembali kepada si pelakunya. Allah tidak mendapat apa-apa manfaat atau faedah sedikit pun dari ibadah yang dilakukan oleh manusia atau makhlukNya.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, mengapa tidak ada kenikmatan dalam beribadah?

Jawapan yang paling ringkas ialah kerana lemahnya iman kepada Allah. Tidak yakin dengan janji-janji Allah, tidak yakin dengan qada’ dan qadar, tidak merasai bahawa diri itu adalah hambaNya, tidak pernah berfikir hikmah sesuatu ibadah itu disyariatkan, terlalu sibuk dengan urusan dunia, tidak pernah merenung akan kejadian alam yang terdiri dari manusia, jin, gunung-ganang, bukit-bukau, lautan, sungai dan sebagainya dan berbagai lagi sebabnya.

Apabila ibadah dilakukan dalam keadaan diri tidak yakin dengan Allah dan rasulNya, tidak mengetahui asal usulnya, tidak mengetahui hikmahnya, manfaatnya dan sebagainya, masakan diri itu dapat memperolehi kemanisannya. Analoginya adalah mudah sekali:

1. Jika seseorang pekerja kontrak binaan melakukan kerja dibawah power majikannya, dia tidak mengetahui berapakah gaji yang akan diberikan oleh majikannya, sedikitkah atau banyakkah, adakah dia akan bekerja dengan senang hati? Adakah dia bekerja dengan gembira? adakah dia bekerja sambil mengharapkan sesuatu yang ganjaran yang menyeronokkan? Jawapannya : dia bekerja dalam keadaan tidak senang kerana tidak tahu berapakah ganjaran yang dia akan perolehi, kerana tidak diberitahu oleh majikannya.

2. Jika majikannya sudah memberitahu bahawa dia akan memperolehi gaji yang lumayan, tetapi dia tidak yakin dengan janji majikannya itu. Adakah dia akan bekerja dengan senang hati dan penuh keseronokan? Jawapannya: tidak juga, kerana walaupun dia mengetahui bahawa gajinya lumayan, tetapi dia tidak yakin dengan majikannya.

Moralnya disini: selagi mana pekerja itu tidak yakin dengan janji majikannya, selagi itulah dia tidak gembira dengan pekerjaannya. Dia mesti yakin dengan janji yang buat oleh majikannya, barulah dia akan bekerja dengan seronok, gembira dan mengharap ganjaran yang akan diperolehi.

Pokok pangkalnya keyakinan kita dengan janji-janji Allah. Allah telah menjanjikan balasan dan ganjaran yang baik dan besar bagi orang yang beriman dan mentaatiNya di akhirat kelak. Dengan keyakinan yang kuat dan teguh dengan janji-janji Allah tersebut, nascaya seseorang itu akan beribadah dengan penuh semangat, seronok, ikhlas dan tanpa mengharap apa-apa imbuhan dari manusia lain.

Ringkasnya, manusia tidak merasai nikmat ibadah yang dilakukan itu kerana dia tidak yakin, atau kurang yakin, atau was-was dengan janji-janji Allah kepada hambaNya. Mungkin dia melakukan ibadah tersebut dalam keadaan terpaksa, terikut-ikut, malu kepada manusia lain, dan sebagainya.

Untuk mengatasi masalah ini, marilah kita menguatkan iman masing-masing kepada Allah SWT. Meneroka janji-janji Allah dalam al-Quran dan al-Sunnah. Mengkaji al-Quran dan membongkarkan rahsia yang terdapat di dalamnya.

BAGAIMANA HENDAK MENAMBAHKAN KEYAKINAN DAN KEIMANAN KEPADA ALLAH?

Untuk menjawab persoalan ini, di sini diturunkan beberapa ayat al-Quran yang menyuruh manusia berfikir, mengkaji, memerhati, dan meneliti semua fenomena dan keadaan yang ada untuk melahirkan keyakinan dan keimanan kepada Allah.

Firman Allah SWT:

}أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا }محمد24

Maksudnya: “ (setelah diterangkan Yang demikian) maka Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?”

{أَفَلاَ يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللّهِ لَوَجَدُواْ فِيهِ اخْتِلاَفاً كَثِيراً }النساء82

Maksudnya: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan Yang banyak di dalamnya.”

· Bagi menambah keimanan kita kepada Allah, kita hendaklah memikirkan isi-isi al-Quran dan menghayati kebenarannya.

{إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لِّأُوْلِي الألْبَابِ }آل عمران190

190. Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal;

· Bagi menambah keimanan kita kepada Allah, kita hendaklah memikirkan keajaiban ciptaan langit dan bumi.

{لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُوْلِي الأَلْبَابِ مَا كَانَ حَدِيثاً يُفْتَرَى وَلَـكِن تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلَّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ }يوسف111

111. Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran Yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang Yang mempunyai akal fikiran. (kisah Nabi-nabi Yang terkandung Dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita Yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa Yang tersebut di Dalam Kitab-kitab ugama Yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan Yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum Yang (mahu) beriman.

· Bagi menambah keimanan kita kepada Allah, kita hendaklah mengambil pengajaran dari kisah-kisah nabi yang terdahulu.

{كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ }ص29

29. (Al-Quran ini) sebuah Kitab Yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab Yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami Dengan teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang Yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.

· Bagi menambah keimanan kita kepada Allah, kita hendaklah Mentadabbur al-Quran, memahami dan berfikir dengan teliti akan ayat-ayat al-Quran.

{أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَسَلَكَهُ يَنَابِيعَ فِي الْأَرْضِ ثُمَّ يُخْرِجُ بِهِ زَرْعاً مُّخْتَلِفاً أَلْوَانُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرّاً ثُمَّ يَجْعَلُهُ حُطَاماً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَذِكْرَى لِأُوْلِي الْأَلْبَابِ }الزمر21

21. tidakkah Engkau memerhatikan, Bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi matair-matair di bumi; kemudian ia menumbuhkan Dengan air itu tanaman-tanaman Yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa Yang tertentu), selepas itu Engkau melihatmu berupa kuning; kemudian ia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya Segala Yang tersebut itu mengandungi peringatan Yang menyedarkan orang-orang Yang berakal sempurna.

· Bagi menambah keimanan kita kepada Allah, kita hendaklah Mengkaji al-Quran sambil memikirkan fenomena alam yang berlaku yang membuktikan kebenaran al-Quran.

KESIMPULAN KESELURUHAN

1. Untuk mendapat kemanisan beribadah, perlu dimulakan dengan kemanisan iman. Untuk mendapat kemanisan iman, perlulah ada keyakinan yang bulat kepada Allah, RasulNya, jan-janjiNya, Qada’ dan QadarNya. Untuk mendapat keyakinan yang bulat kepada Allah, perlulah memperlajari, mengkaji, memikirkan dan menghayati ayat-ayat al-Quran sambil mengkaji fenomena alam yang yang membenarkannya.

2. Sesudah keimanan dan keyakinan diperolehi, perlulah disusuli dengan pengawasan dan penjagaan iman. Jangan biarkan diri ditipu oleh hasutan jin dan manusia yang mahu menghancurkan keimanan yang dibina. Antara cara pengawasan ini ialah sentiasa berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah SWT., mendampingi orang-orang yang baik (orang alim), menjauhi golongan fasik yang banyak buat dosa.

Sekadar itu sahaja, respon yang boleh saya berikan, semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada kita semua untuk mentaatiNya dan mengikut syariatNya. Ameen.

Tuesday, September 13, 2011

WAKTU DOA YANG MUSTAJAB


PERSOALAN:

Ada orang berpendapat bahawa doa yang perlu dipanjangkan dan diperbanyakkan ketika bersolat ialah di waktu sujud. Manakala doa selepas solat tidak perlu dipanjangkan. Apakah pandangan anda?


RESPON SAYA BERDASARKAN KITAB-KITAB YANG DIBACA:

Tempat-tempat yang mustajab kita berdoa ketika menunaikan solat lima waktu ialah

1. Ketika sujud dalam solat

2. Ketika sesudah membaca tasyahud akhir

3. Ketika selesai menunaikan solat lima waktu

Di sini saya turunkan beberapa hadis sahih yang dijadikan sebagai dalil oleh para ulama untuk membenarkan kenyataan di atas:

1. Dalil Perlu Perbanyakkan Doa Ketika Sujud.

عن ابن عباس رضي الله عنه قال: رَفَعَ رَسُوْلُ اللهِ (ص) السِّتَارَةَ فَرَأَى النَّاسَ صُفُوْفًا خَلْفَ أَبِيْ بَكْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، فَقَالَ: إِنَّهُ لَمْ يَبْقَ مِنْ مُبَشَّرَاتِ النُّبُوَّةِ إِلَّا الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ يَرَاهَا الْمُسْلِمُ، أَوْ تُرَى لَهُ، وَإِنِّيْ نُهِيْتُ أَنْ أَقْرَأَ فِي الرُّكُوْعِ وَالسُّجُوْدِ، فَأَمَّا الرُّكُوْعُ فَعَظِّمُوْا فِيْهِ الرَّبَّ، وَأَمَّا السُّجُوْدُ فَاجْتَهِدُوْا فِي الدُّعَاءِ فقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ. – رواه مسلم والطبراني،

Daripada Ibn Abbas r.a. berkata: Rasulullah SAW mengangkat tirai, lantas baginda melihat manusia berbaris-baris di belakang Abu Bakar r.a, lantas baginda bersabda: “Sesungguhnya tidak terdapat lagi berita-berita gembira kenabian kecuali mimpi yang baik, yang dialami oleh seorang muslim, atau diperlihatkan baginya (mimpi itu), dan aku telah dilarang dari membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud, maka dalam rukuk kamu agungkanlah Allah, dan dalam sujud kamu bersungguh-sungguhlah berdoa, sebenarnya doa kamu akan diterima .” Hadis riwayat al-Tabrani dan Muslim.

عن أبي هريرة عن رسول الله (ص) قال: أَقْرَبُ مَا يَكُوْنُ الْعَبْدُ مِنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوْا الدُّعَاءَ. رواه مسلم والنسائي وأبو داود اسناده صحيح.

Daripada Abu Hurairah, dari Rasulullah SAW bersabda: “Tempat yang paling dekat seorang hamba dengan Allah ialah ketika dia bersujud, maka perbanyakkanlah doa.” Riwayat Muslim, al-Nasaie, Abu Daud, sanadnya sahih.

2. Dalil Saranan Rasulullah SAW supaya berdoa selepas membaca Tasyahud Akhir.

عن عبد الله بن مسعود رضي الله عنه، أن رسول الله (ص) عَلَّمَهُمْ التَّشَهُّدَ فِي الصَّلَاةِ، ثُمَّ قَالَ فِيْ آخِرِهِ: "ثُمَّ يَتَخَيَّرَ مِنَ الدُّعَاءِ أَعْجَبَهُ إِلَيْهِ فَيَدْعُوْ". رواه البخاري

Daripada Abdullah bin Mas’ud, bahawa Rasulullah SAW mengajar mereka tasyahud dalam solat, kemudian baginda bersabda di akhirnya: “kemudian pilihlah doa yang ia meminatinya dan dia berdoa.”. Riwayat al-Bukhari.

3. Dalil Waktu yang mustajab doa dioanjatkan kepada Allah.

عن أبي أمامة الباهلي رضي الله عنه قال: قِيْلَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ أَيُّ الدُّعَاءِ اسمع؟ قَالَ: "جَوْفَ اللَّيِلْ اْلآخِرِ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوْبَاتِ". رواه الترمذي وحسنه وكذا حسنه الألباني.

Daripada Abi Umamah al-Bahili r.a. berkata: ditanya: Wahai Rasulullah! manakah satu (ketika) doa akan didengari (oleh Allah)? Rasullullah bersabda: “Doa ketika separuh malam terakhir dan doa di belakang solat fardhu lima waktu.”

Kesimpulan:

1. Ketiga-tiga waktu di atas adalah waktu yang mustajab berdoa, berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan di atas.

2. Tidak seharusnya kita mengatakan bahawa doa ketika sujud lebih mustajab dari doa di waktu lain kerana perkara itu tidak pernah dibandingkan oleh Rasulullah SAW.

3. Rasulullah SAW hanya menjelaskan waktu-waktu yang mustajab berdoa, waktu-waktu itu banyak selain dari tiga yang disebut di atas, dan baginda tidak pernah menyebut bahawa waktu ini lebih baik dari waktu itu atau sebaliknya.

4. Oleh itu, dalam perkara-perkara furu’ pengamalan ibadah ini, kita tidak perlu berselisih pendapat yang membawa kepada perbalahan yang besar dan bermasam muka.

5. Bagi seseorang yang mahu memanjangkan doa dalam sujud, janganlah mengatakan bahawa doa selepas solat itu tidak afdal. Dan begitu juga bagi orang yang mahu memanjangkan doa selepas solat, janganlah mengatakan bahawa doa dalam sujud tidak wajar dipanjangkan.

6. Perselisihan ini dinamakan خلاف التنوع atau perselisihan dalam menentukan yang mana lebih afdal. Ada ulama mengatakan cara “A” lebih afdal berdasarkan dalilnya, dan ada ulama yang mengatakan cara “B” lebih afdal berdasarkan dalilnya. Ini berdasarkan ijtihad masing-masing, namun yang penting cara “A” tidak membatalkan cara “B” dan begitu juga sebaliknya. Yang paling penting keikhlasan melakukan ibadah itu yang menentukan samada ia diterima atau ditolak oleh Allah SWT.


Perbezaan dalil tentang tempat dan masa mustajab berdoa ini juga menunjukkan bahawa luasnya bidang pengamalan ibadah dalam Islam. Sesuatu pengamalan itu tidak rigid pada masa atau tempat tertentu sahaja, malah ia boleh diamalkan di banyak tempat dan masa mengikut kesesuaian dan kelapangan seseorang itu hendak melakukannya. Inilah dinamiknya Islam dan mudahnya syariat Islam.


Allah ua’lam.

Friday, September 9, 2011

DOA BERMUSAFIR / PERJALANAN JAUH


Disunatkan bg org yg bermusafir membaca zikir ini ketika keluar rumah:

بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ، اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُبِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ، أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ ، أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ، أو أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عَلَيَّ"

“Dengan nama Allah, aku berserah kepadaNya, dan tidak ada daya dan kuasa kecuali kuasa Allah, Ya Allah! Aku berlindung denganMu dari aku sesat atau aku disesatkan, dari aku tersalah atau disalahkan, dari aku zalim atau dizalimi, dari aku bodoh atau diperbodohkan.”

kemudian bacalah doa perjalanan

اَللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ وَالْخَلِيْفَةُ فِي اْلأَهْلِ، اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُبِكَ مِنَ الضَّبْنَةِ فِي السَّفَرِ، وَالْكَآبَةِ فِي الْمُنْقَلِبِ ، اَللَّهُمَّ اَطْوِ لَنَا اْلأَرْضَ، وَهَوِّنْ عَلَيْنَا السَّفَرَ

“Ya Allah! Engkau tuan punya perjalanan ini, dan penjaga kepada ahli keluarga. Ya Allah! Aku berlindung denganMu dari kawan-kawan yang tidak ada kecekapan, dan dari putus asa dalam perjalanan, Ya Allah! Pendekkanlah bagi kami bumi ini, dan permudahkanlah bagi kami perjalanan ini.” Ameen.

doa ini maksur diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Tabrani.